Sekarang ONLINE

Tuesday, September 15, 2015

Cara Menghilangkan Nafas Dan Mulut Berbau

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
bersih mulut.
Dalam artikel sebelum ini telah diterangkan secara panjang lebar mengenai Punca Masalah Mulut Atau Nafas Berbau  (Klik Di Sini), maka kali ini seperti mana yang telah dijanjikan, ana bentangkan pula solusi atau cara mengatasi masalah mulut dan nafas berbau yang membebankan diri antum itu:
.
Apa patut antum lakukan sekiranya mempunyai masalah ini?

Masalah nafas berbau seharusnya diberi perhatian kerana ia mampu untuk mengurangkan keyakinan seseorang untuk berkomunikasi dengan orang lain. Tambahan pula, bimbang sekiranya ramai orang mula menjauhkan diri daripada kita. Selain daripada itu, ia juga berkemungkinan sebagai tanda kehadiran penyakit lain yang mungkin anda hadapi. Cara untuk menghilangkan masalah nafas berbau adalah denganpelbagai tips di bawah ini
 .

1. Membersih Dan Memberus Gigi


Menjaga kebersihan mulut. Hal ini boleh antum lakukan dengan cara rajin memberus gigi secara teratur, baik dan menyeluruh serta menggunakan benang flos atau flos pakai-buang dengan betul.

Menjaga dan memberus gigi atau bersiwak harus sentiasa diamalkan sebaik habis makan, sebelum tidur dan bangun tidur atau sekurang-kurangnya 2 kali sehari kerana ini akan membuang bakteria dan juga lebihan makanan yang digunakan oleh bakteria untuk hidup. Dengan ini bakteria tidak akan menghasilkan sulfur yang menyebabkan gigi berlubang dan mulut antum berbau.

Pastikan juga antum tidak tergesa-gesa memberus dan flos gigi kerana ianya tidak akan menghilangkan semua bakteria tersebut. Ambillah masa paling kurang 2 atau 3 minit untuk bersiwak atau memberus gigi. Jangan lupa untuk menggunakan flos kerana jika antum memberus gigi tanpa menggunakan flos seolah-olah hanya membersihkan 70% gigi sahaja.

Dari Aisyah radhiallahu ‘anha bahwasanya Rasulullah bersabda: Siwak itu adalah menyebabkan sucinya mulut dan menyebabkan adanya keredhaan Tuhan.”(Diriwayatkan oleh Imam Nasa’i dan Ibnu Khuzaimah)
 .
.

2. Membersihkan Lidah


Ramai yang terlupa untuk membersihkan lidah ketika menggosok gigi atau bersiwak.Antum bukan sahaja perlu menggosok gigi, tetapi perlu juga untuk menggosok bahagian lidah paling tidak 2 kali setiap hari untuk menghilangkan masalah nafas berbau. Hal ini dapat membantu mengurangkan bakteria biofilm.

Ingatlah bahawa bahagian belakang atas, adalah punca utama yang menyebabkan masalah nafas berbau yang serius. Banyak bakteria bersembunyi pada rekahan lidah dan juga di bahagian belakang lidah. Lidah antum mempunyai berjuta-juta filamen yang boleh memerangkap sisa makanan dan bakteria, jika dibiarkan akan membawa kepada masalah nafas berbau.

Antum boleh membersihkan lidah dengan menggunakan pembersih lidah (tongue cleaner). Ada juga berus gigi jenis mempunyai pembersih lidah di belakang kepala berus gigi. Selain itu, antum juga boleh menggunakan berus gigi yang lembut untuk memberus lidah secara perlahan-lahan dengan menggerakkan berus dari belakang lidah ke bahagian hadapan berulang kali sehingga lidah antum bersih.
 .
.

3. Meminum Banyak Air


Minum lebih banyak air dapat membantu antum menghilangkan ‘bakteria jahat’ yang menyebabkan masalah nafas berbau. Selain daripada itu, kajian juga menunjukkan dengan mengamalkan meminum teh, ia turut dapat membantu menghilangkan masalah nafas berbau kerana teh mengandungi ‘poleypehnols’, iaitu sejenis bahan kimia tumbuhan yang dapat menyekat pertumbuhan bakteria punca nafas berbau.

Meminum air boleh merangsang pengeluaran air liur, membilas lebihan sisa makanan pada gigi dan juga melembabkan mulut yang membuatkan ia kurang sesuai untuk didiami oleh bakteria ‘anaerob’. Jika antum mengalami masalah kekeringan mulut disebabkan ubat atau yang selalu bercakap, cara ini paling baik untuk memastikan mulut antum sentiasa berair.

Antum juga memang disarankan untuk meminum air masak paling kurang 2 liter (16 gelas) sehari. Ini tidak mustahil kerana antum hanya perlu minum segelas air setiap jam. Adalah lebih baik jika antum mengisi air di dalam botol dan sentiasa meneguk air dengan kerap sepanjang hari. Dengan ini mulut antum akan sentiasa dibasahi air sepanjang hari.
 .
.

4.  Susu Dapat Mengatasi Nafas Berbau


Jika antum meminum segelas susu, ianya dipercayai mampu mengatasi masalah nafas berbau busuk. Dalam satu ujian menggunakan bawang putih yang dimasak dengan susu, didapati tahap sulfur dalam bawang putih tersebut menurun sekaligus mengurangkan bau busuk.

Penemuan oleh Sheryl Barringer dan Aeerat Hansanugaran dari Universiti Ohio itu di muatkan dalam Journal of Food Science. Jelas mereka, meminum susu bersama bawang putih akan memberi kesan yang optimum. Campuran kedua-dua bahan tersebut di dalam mulut sebelum ditelan mampu meneutralkan bau busuk nafas berbanding minum susu selepas memakan bawang putih.
 .
.

5. Pemakanan

 

Masalah nafas berbau adalah kesan sampingan jika antum mengurangkan pengambilan karbohidrat dalam pemakanan. Selain daripada itu, makanan yang dimakan juga mungkin punca masalah nafas berbau seperti bawang putih, kopi dan sebagainya.

Hidup yang sihat juga adalah dengan mengambil makanan yang banyak mengandung vitamin E dan C, misalnya buah-buahan, sayur-sayuran. Misalnya: mangga, bayam, aprikot, bijirin gandum, susu soya dan oren.

Makanlah makanan yang sihat dan sedikit keras ketika sarapan kerana makanan yang agak keras seperti cornflakes, kekacang dan buah epal dapat membantu membersihkan bahagian lidah paling belakang.
 .
.

6. Elak Menggunakan Pencuci Mulut Beralkohol


Ramai yang menyangka bahawa dengan menggunakan pencuci mulut, bau nafas akan menjadi segar dan tidak berbau tetapi mereka tidak merawat punca sebenar mulut mereka berbau jadi cara ini hanya bersifat sementara. Dan jika menggunakan ubat kumur yang mempunyai alkohol, ia boleh menyebabkan kekeringan di dalam mulut yang menggalakkan pembiakan bakteria yang menyebabkan bau mulut.

Ubat kumur berfungsi untuk menghilangkan bakteria di dalam mulut yang menyebabkan masalah nafas berbau. Antum dinasihatkan untuk mengamalkan ubat kumur yang tidak mengandungi alkohol ini sekurang-kurangnya sekali sehari.
 .
.

7. Mengunyah Gula-Gula Getah


Jika antum tidak dapat memberus gigi selepas makan (terutamanya makan tengah hari ataupun snek), antum boleh mengunyah gula getah tanpa gula yang halal. Dengan mengunyah gula getah, sisa-sisa makanan boleh dibersihkan dan pengeluaran air liur akan di rangsang.

Air liur merupakan pertahanan terbaik untuk menghilangkan masalah nafas berbau. Gula-gula getah sebenarnya dapat membantu untuk merangsang penghasilan air liur lebih banyak. Sebab itulah nafas kita berbau apabila bangun dari tidur, ini adalah kerana aliran air liur rendah ketika seseorang berbaring/ tidur.
 .
.

8. Perihatin Pada Gigi Sendiri


Memeriksa gigi antum jika terdapat tanda-tanda penyakit gusi dan tulang (gingivitis, periodontal problem)

Penyakit gusi (periodontal problem) adalah disebabkan jangkitan kuman pada gusi dan juga pada ligamen yang memegang gigi. Ini menyebabkan poket gusi menjadi dalam dan bakteria suka bersembunyi di situ. Di antara tanda-tanda penyakit gusi ialah

Ø  Gusi bengkak dan merah
Ø  Gusi mudah berdarah apabila disentuh
Ø  Radang gusi (gingivitis)
Ø  Nanah keluar dari gusi yang bengkak
Ø  Gigi berlubang dan bergoyang
Ø  Gigi sensitif
Ø  Sakit pada gigi ketika mengunyah
Ø  Terdapat karang gigi (lapisan keras yang berwarna kekuningan atau kehitaman di pangkal/leher leher gigi)

Doktor gigi boleh merawat penyakit gusi dan membersihkan gigi antum dari plak dan karang gigi dan ini seterusnya boleh menghilangkan bau pada mulut antum.
 .
.

9. Berjumpa Doktor Gigi


Berjumpalah dengan doktor gigi untuk pemeriksaan paling kurang setahun sekali. Selalunya antum tidak menyedari yang antum mempunyai masalah mulut, gigi dan gusisekiranya tidak berjumpa doktor gigi untuk pemeriksaan. Jika antum telah berasa sakit, maka selalunya tahap kerosakan atau penyakit gusi telah serius.

Doktor gigi boleh mengesan awal sekiranya antum mempunyai masalah dan segera mengatasinya sebelum ia menjadi teruk. Jika bau mulut antum disebabkan oleh penyakit misalnya jangkitan paru-paru, maka doktor akan memberikan ubat bau mulut yang lebih tepat.

Hasil daripada kajian, 90% masalah nafas berbau adalah berpunca daripada kesan sampingan terhadap penyakit lain seperti penyakit gusi, kanser mulut, kaviti dan sebagainya. Antum dinasihatkan untuk mengelakkan pengambilan rokok dan alkohol yang merupakan punca utama terhadap penyakit mulut.

Cara menghasilkan bau mulut yang segar dan sihat memang mudah dan tidak menggunakan bahan-bahan yang sukar yang boleh memudaratkan gigi. Antum harus perihatin kerana bau mulut juga sangat berkait dengan masalah gigi yang memberi pengaruh besar dalam kehidupan antum.Dengan adanya tips-tips di atas, mudah-mudahan masalah bau mulut antum boleh berkurang. InsyaAllah…

Selamat mencuba…

No comments:

Post a Comment