KOTA BHARU – Seorang remaja lelaki kini menjadi buruan polis apabila disyaki bertindak menculik seorang kanak-kanak lelaki malam Jumaat lalu yang kemudiannya dipaksa meminta sedekah daripada orang ramai berdekatan Pasaraya KB Mall, di sini.
Ketua Polis Kota Bharu, ACP Sohaimi Md Isa ketika dihubungi The Rakyat Post berkata, polis sudah mendapatkan keterangan daripada mangsa dan akan cuba membuat lakaran fotofit suspek yang dikatakan bertanggungjawab melarikan mangsa.
Katanya, maklumat awal yang diperolehi mangsa memberitahu dia diculik di Masjid Muhammadi ketika menemani bapanya bersolat Isyak.
“Polis juga akan cuba mendapatkan maklumat daripada individu yang menyelamatkan mangsa kerana mungkin beliau yang mampu memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai suspek,” katanya.
Sementara itu, mangsa yang ditemui hari ini memberitahu dia diculik oleh seorang remaja lain dengan ditekup mulut dan tangannya dipegang ketika berada di dalam kawasan masjid.
Kanak-kanak terbabit, Aiman Kamarulzaman, 7, berkata dia kemudiannya dibawa ke satu kawasan gelap dan dipukul dengan buluh di kaki dan belakang oleh remaja berkenaan.
“Saya tidak diberi makan dan minum sepanjang ditahan termasuk dipaksa tidur di merata tempat.
“Selain saya, ada beberapa lagi kanak-kanak lain yang dipercayai turut dipaksa menjadi peminta sedekah namun saya tidak mengenali mereka,” katanya yang ditemani bapa, Kamarolzaman Mohamad, 50, peniaga di Pasar Siti Khadijah, di sini.
Sementara itu, individu yang bertanggungjawab menyelamatkan mangsa, Azirul Izwan Ab Llah, 39, ketika dihubungi The Rakyat Postmenjelaskan dia merasa terpanggil untuk mengetahui lebih lanjut mengenai mangsa selepas melihatnya menangis dan memberitahu mahu pulang ke rumah.
Katanya, ketika mahu melangkah masuk ke pasaraya berkenaan seorang kanak-kanak menghampirinya dan menghulurkan bekas meminta sedekah.
“Saya agak curiga dengan perlakuannya dan mula bertanyakan mengenai dirinya. Ketika itu ada seorang remaja berdekatan dan saya sempat memegang tangannya namun selepas meronta-ronta dia berjaya melarikan diri.
“Selepas mendapat tahu hal sebenar saya kemudiannya bertindak menghantar kanak-kanak terbabit ke alamat yang diberitahu dan ternyata memang betul dia sebenarnya diculik oleh remaja yang ada bersamanya sebelum itu,” katanya.
Katanya, dia tidak mengharapkan apa-apa balasan atas pertolongan yang diberikan itu kerana merasakan ianya satu tanggungjawab sebagai anggota masyarakat.
Dalam kejadian malam Jumaat lalu seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dilaporkan hilang ketika menemani bapanya solat Isyak di Masjid Muhammadi, di sini.
Bagaimanapun, hampir 22 jam hilang akhirnya kanak-kanak terbabit berjaya ditemui dipaksa meminta sedekah tetapi atas sikap prihatin seorang lelaki akhirnya dia berjaya diselamatkan
No comments:
Post a Comment